Selasa, 28 April 2009

Stres guru membimbangkan -- Akibat banyak perubahan dan bebanan tugas yang ketera

Date: Friday, August 19 @ 09:17:38 MYT
Topic: Local Politics


KUALA LUMPUR 18 Ogos - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendakwa tahap stres di kalangan guru-guru di negara ini semakin menjadi-jadi dan membimbangkan ekoran bebanan tugas yang meningkat.

Presiden NUTP, Ismail Nihat berkata, guru-guru kini terpaksa berhadapan dengan perubahan demi perubahan dalam bidang pendidikan sehingga wujudnya beban yang keterlaluan.

``Apabila ada pegawai baru di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri atau di peringkat kementerian, banyaklah idea dan tugasan baru yang harus dipikul oleh guru.

``Bebanan ini terus berlaku dalam keadaan jumlah guru yang tidak seimbang dengan peningkatan jumlah murid, projek banyak tetapi guru sedikit,'' katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng di sini, hari ini.

Sidang akhbar itu bertujuan menjelaskan beberapa isu melibatkan golongan guru yang akan dibentangkan pada Persidangan Perwakilan NUTP ke-17 yang bermula esok hingga 22 Ogos ini.

Menurut Ismail, walaupun kedengaran pelik tetapi semua pihak harus menerima hakikat bahawa masalah yang dihadapi oleh golongan guru menjurus kepada tekanan mental dan emosi berbanding fizikal.

``Ini menjejaskan keupayaan dan kepercayaan mereka terhadap diri sendiri untuk mencapai matlamat melahirkan pelajar yang cemerlang dan berkualiti,'' katanya.

Selain itu, beliau menggariskan beberapa faktor yang menyebabkan stres di kalangan guru iaitu:

* Harapan ibu bapa terlalu tinggi kepada guru kerana sering mahukan pencapaian terbaik pelajar.

* Masalah disiplin pelajar yang semakin sukar dikawal termasuk melibatkan keselamatan guru.

* Pelajar-pelajar semakin cerdik berbanding guru ekoran akses pendidikan yang semakin canggih dan meluas.

Sehubungan itu katanya, NUTP akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjalankan satu kajian khas mengenai tahap sebenar tekanan di kalangan guru.

``Kita sedang berunding dengan JPA tetapi kami sudah menyediakan set soalan khas untuk menjayakan kajian tersebut.

``Sebagai permulaan kita akan agih-agihkannya kepada 220 delegasi yang menghadiri persidangan itu nanti,'' ujarnya.

Tambah beliau, kajian itu penting untuk membantu kerajaan meneliti langkah-langkah penyelesaian yang sesuai.

2 ulasan:

  1. This article comes from Portal Puteri UMNO
    http://www.puteri.net.my

    The URL for this story is:
    http://www.puteri.net.my/modules.php?name=News&file=article&sid=691

    BalasPadam
  2. Kalau dulu pekerjaan sebagai seorang guru dianggap mulia dan disanjung tinggi.Kini tidak keterlaluan jika dianggap sebagai satu pekerjaan terakhir apabila tidak mendapat pekerjaan yang lain. Maka ujudlah program-program KPLI,j-QAF dan sebagainya.
    Guru yang sebenar adalah guru yang minat menjadi guru, sanggup berkorban, bertugas secara jujur dan ikhlas tanpa berkira..
    Tidak dinafikan kadang-kadang guru tertekan dengan bebanan tugas yang memang rencam..tapi jika bijak menguruskan stress dengan mengaplikasikan teori 'stress management'keadaan stress boleh dikurangkan..

    oleh: Guru_Lama

    BalasPadam