Isnin, 18 Mei 2009

Asalamualaikum cikgu!

“Asalamualaikum cikgu!” Itulah di antara kata-kata hikmat yang diucapkan kepada guru setiap hari. Kata-kata tersebut dilafazkan sama ada di bilik darjah mahupun di luar bilik darjah. Dengan erti kata yang lain, kita sebagai seorang murid perlu sentiasa menghormati guru tidak kira di mana sahaja berada.

Menghormati guru sama seperti kita menghormati kedua ibu bapa kita. Guru berada bersama murid selama hampir enam jam sehari. Jumlah ini tidak termasuk waktu menjalankan aktiviti ko-kurikulum.

Guru bukan sahaja menjalankan tugas untuk mengajar tetapi mempunyai berbagai tanggungjawab yang lain.

Pembimbing: Guru kita ialah seorang pembimbing yang sentiasa memberi nasihat, tunjuk ajar dan pedoman ke arah kehidupan yang lebih sempurna. Kata-kata nasihat yang diberikan tidak seharusnya diambil ringan. Ia harus dihormati dan digunakan dalam kehidupan. Ia juga merupakan seorang motivator yang sentiasa membakar semangat murid-murid ketika berada dalam keadaan yang kecewa untuk terus berusaha menghadapi cabaran dan menempah kejayaan.

Penjaga: Selain daripada pembimbing guru juga merupakan seorang penjaga kerana pada masa itu ibu bapa murid sedang bekerja. Oleh itu sebagai seorang penjaga tindakan mereka samalah seperti tindakan ibu bapa murid-murid sendiri. Ada ketikanya seseorang guru itu marah dan mengenakan denda sekiranya murid-murid melakukan kesilapan atau melanggari peraturan sekolah. Ada ketikanya pula guru-guru akan gembira dan memberi ganjaran jika murid-muridnya berkelakuan baik dan menumpukan segala perhatian terhadap pelajaran.

Pemudahcara: Guru juga merupakan seorang pemudahcara iaitu menyelesaikan masalah murid terutamanya dalam pembelajaran. Murid bebas bertanya kepada guru tentang masalah pembelajarannya sekiranya murid tidak memahami sesuatu topik. Walau bagaimanapun usaha yang gigih dan ikhlas daripada murid perlulah digandakan dan janganlah terlalu mengharapkan bantuan guru semata-mata. Dengan hanya mengharapkan bantuan guru sahaja akan menjadikan seseorang murid itu malas.

Guru tidak meminta apa-apa balasan daripada murid atas segala tugas dan tanggungjawab yang dilaksanakan. Harapan mereka agar segala tindakan yang mereka lakukan itu dapat dihargai oleh murid-murid dengan mengikuti segala nasihat yang diberi dan digunakan dalam kehidupan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan