Isnin, 25 Mei 2009

Perpisahan GPK

Untuk makluman para ibu bapa dan guru-guru, sekolah kita bakal kehilangan seorang ketua, seorang pentadbir, seorang ibu dan seorang rakan. Apa yang saya maksudkan di sini adalah Sk Taman Sutera akan kehilangan seorang guru kanan yang begitu disayangi oleh warga sutera, beliau adalah Datin Nor'ain Abdullah yang akan berpindah ke sekolah SK Taman Universiti 3. Pihak sekolah mengucapkan terima kasih diatas jasa baik beliau sebelum ini dan berharap agar beliau lebih berjaya dimasa hadapan. Kami semua pasti merindui anda.

Mesyuarat panitia Zon Skudai

Satu mesyuarat panitia Pendidikan Sivik & Kewarganegaraan peringkat Zon Skudai akan di adakan di Sekolah Kebangsaan Taman Sutera. Pada tahun ini SKTS menjadi Pengerusi Zon Skudai bagi matapelajaran PSK. Berikut adalah maklumat mengenai mesyuarat tersebut :

Lokasi : Persada Ilmu (SKTS)
Masa : 2.oo pm
Tarikh : 25 Mei 2009

Ketua Panitia PSK Semua SK di Zon Skudai diwajibkan hadir.

Untuk makluman lanjut sila hubungi Pn. Yanty.

Rabu, 20 Mei 2009

Kelembutan di sebalik ketegasan

Pada suatu ketika tertentu suasana pembelajaran menjadi agak tegang kerana kedengaran suara guru yang tegas menegur pelajar-pelajarnya yang tidak membuat tugasan seperti yang diarahkan. Pelajar-pelajar pula mempunyai berbagai-bagai perasaan seperti marah, malu, geram dan sedih atas peristiwa yang menimpa pada diri mereka. Ada juga pelajar yang berasa lega kerana kelakuan rakan-rakannya yang buruk itu akhirnnya diketahui dan diambil tindakan oleh guru.

Bagi pelajar-pelajar yang menerima teguran sudah tentu berasa marah malah ada yang berdendam di hati sehinggkan sanggup melakukan perkara yang tidak diingini ke atas guru tersebut. Sebenarnya teguran dan ketegasan yang ada pada guru itu merupakan tanggungjawab yang ikhlas yang harus dipikul dan dilaksanakan demi kasih sayang mereka terhadap pelajar-pelajar.

Dalam hal ini ketegasan yang ditunjukkan oleh guru merupakan satu tindakan untuk memberi gambaran seperti berikut kepada pelajar-pelajar.

• Melahirkan rasa keprihatinan: Setiap guru menganggapkan para pelajar itu sebagai anak-anak mereka sendiri. Sebagai ibu atau bapa kepada anak-anak yang disayangi, mereka akan sentiasa peka terhadap perkembangan mereka baik dari segi keselamatan, kelakuan ataupun prestasi pembelajaran. Oleh itu sebarang teguran atau larangan adalah bertujuan murni untuk memperbetulkan kesilapan yang dilakukan oleh pelajar-pelajar bukan kerana membenci mereka sepertimana yang difikirkan oleh segelintir pelajar.

• Menyelamatkan pelajar daripada kecundang: Semua guru inginkan pelajar-pelajarnya berjaya. Guru akan sentiasa runsing selagi keputusan peperiksaan pelajar-pelajarnya belum diumumkan. Guru juga orang yang paling gembira apabila pelajar-pelajarnya mencapai kejayaan. Oleh itu segala teguran dan luahan rasa yang ditujukan kepada pelajar ialah bertujuan untuk menyelamatkan pelajar-pelajar daripada terjebak dalam kancah kehidupan yang berakhir dengan kemusnahan.

• Pencabar dan pembakar semangat: Setiap teguran dan nasihat guru harus diteliti secara positif. Anggapkan kata-kata teguran itu sebagai satu cabaran yang harus dihadapi dengan tenang dan bijaksana. Begitu juga dengan nasihat yang diberikan itu perlulah dianggapkan sebagai kata-kata pembakar semangat yang menyemarakkan jiwa dan perasaan pelajar bukannya untuk menimbul kemarahan.

Setelah mengerti tujuan sebenarnya teguran yang diberikan oleh guru kepada pelajar-pelajar, maka segala sifat ketegasan yang dilihat pada zahirnya sebenarnya ada kelembutan di jiwa mereka. Oleh itu wajarlah pelajar-pelajar menghargai segala jasa guru dengan cara menghormati mereka, tidak menyakiti hati mereka serta berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat kejayaan yang bakal diraikan bersama oleh guru.

Isnin, 18 Mei 2009

Asalamualaikum cikgu!

“Asalamualaikum cikgu!” Itulah di antara kata-kata hikmat yang diucapkan kepada guru setiap hari. Kata-kata tersebut dilafazkan sama ada di bilik darjah mahupun di luar bilik darjah. Dengan erti kata yang lain, kita sebagai seorang murid perlu sentiasa menghormati guru tidak kira di mana sahaja berada.

Menghormati guru sama seperti kita menghormati kedua ibu bapa kita. Guru berada bersama murid selama hampir enam jam sehari. Jumlah ini tidak termasuk waktu menjalankan aktiviti ko-kurikulum.

Guru bukan sahaja menjalankan tugas untuk mengajar tetapi mempunyai berbagai tanggungjawab yang lain.

Pembimbing: Guru kita ialah seorang pembimbing yang sentiasa memberi nasihat, tunjuk ajar dan pedoman ke arah kehidupan yang lebih sempurna. Kata-kata nasihat yang diberikan tidak seharusnya diambil ringan. Ia harus dihormati dan digunakan dalam kehidupan. Ia juga merupakan seorang motivator yang sentiasa membakar semangat murid-murid ketika berada dalam keadaan yang kecewa untuk terus berusaha menghadapi cabaran dan menempah kejayaan.

Penjaga: Selain daripada pembimbing guru juga merupakan seorang penjaga kerana pada masa itu ibu bapa murid sedang bekerja. Oleh itu sebagai seorang penjaga tindakan mereka samalah seperti tindakan ibu bapa murid-murid sendiri. Ada ketikanya seseorang guru itu marah dan mengenakan denda sekiranya murid-murid melakukan kesilapan atau melanggari peraturan sekolah. Ada ketikanya pula guru-guru akan gembira dan memberi ganjaran jika murid-muridnya berkelakuan baik dan menumpukan segala perhatian terhadap pelajaran.

Pemudahcara: Guru juga merupakan seorang pemudahcara iaitu menyelesaikan masalah murid terutamanya dalam pembelajaran. Murid bebas bertanya kepada guru tentang masalah pembelajarannya sekiranya murid tidak memahami sesuatu topik. Walau bagaimanapun usaha yang gigih dan ikhlas daripada murid perlulah digandakan dan janganlah terlalu mengharapkan bantuan guru semata-mata. Dengan hanya mengharapkan bantuan guru sahaja akan menjadikan seseorang murid itu malas.

Guru tidak meminta apa-apa balasan daripada murid atas segala tugas dan tanggungjawab yang dilaksanakan. Harapan mereka agar segala tindakan yang mereka lakukan itu dapat dihargai oleh murid-murid dengan mengikuti segala nasihat yang diberi dan digunakan dalam kehidupan.



Sabtu, 16 Mei 2009

Lagu Tema Hari Guru 2009

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA

Bersedia melangkah megah
Walaupun sukar baktiku curah
Demi mu ibu pertiwi
Sumpah ku lafaz janji kukota

Berikrar eratkan bangsa
Kukuhkan cinta kepada Negara
Berjasa terus berjasa
Menyebarkan ilmu tiada batasnya

Guru Pembina Negara Bangsa
Gagah perjuangkan visi Negara
Bangunkan jiwa yang pelbagai rupa
Demi agama dan nusa tercinta

Guru Pembina Negara Bangsa
Tetap Unggul senadakan suara
Sehaluan menggapai matlamatnya
Cemerlang dan gemilangkan Malaysia


Pencipta Lagu : Khairulrizam bin Khalid
Pencipta Lirik : Ili Nurbahirah bt Baharudin
Pengubah Muzik : Marzuki bin Tambi

Ahad, 10 Mei 2009

Sajak Sempena Hari Ibu



Detik masa terus berlalu tanpa menanti sesiapa dan semakin hari umur kita pun akan meningkat bersama pengedaran masa. Kita semua dilahirkan di dunia ini melalui seorang yang bernama ibu. Begitu besar peranan dan jasa insan yang bernama ibu ini. Oleh itu renungkanlah sejenak apakah yang telah kita lakukan untuk membalas segala budi ibu ini. Sekurang-kurangnya peluk dan ciumlah ibu masing-masing yang dapat berjumpa atau sekurang-kurangnya telefon ibu bagi mereka yang duduk berjauhan.

Bersempena dengan hari Ibu yang akan berlangsung pada hujung minggu ini 10 Mei 2009, di sini dipaparkan beberapa koleksi sajak yang ditujukan kepada ibu. Sajak-sajak ini telah diperolehi daripada beberapa laman blog, terima kasih.

Gugurnya Kelopak Itu...

Tunas itu mula bercambah,
Sekian lama tertanam di pelosok gentian,
Menjalar robek sinar mentar,
Walau halangan datang menerpa.

Tunas itu mula berkembang,
Kembangnya sekuntum mawar,
Bagai si puteri bangkit beradu,
Walau saingan menyerang tiba.

Si mawar mula mewangi,
Semerbak harum menusuk kalbu,
Ayuan merah kelopak menawan,
Lambaian hijau daunan menenang.

Lembut tubuh bersalut duri,
Membangkit cemburu iri sang flora,
Menzahir gerun takut sang fauna,
Hanya si kumbang gagah tiada gentar.

Ibu dikaulah mawar itu,
Yang kupujai tiap waktu,
Yang kurindui wajahmu,
Yang kukagumi ketabahanmu.

Cekal hati mendidik daku,
Sabar murni melayan kerenah anakmu,
Tiada kedengaran sepatah keluhan,
Tiada kelihatan setitip kemarahan.

Kini mawar itu kian layu,
Perlahan dimamah arus usia,
Gugur sudah si ayu kelopaknya,
Hilang sudah lambaian daunannya.

Segamit memori ku kenangi,
Setulus kasih ku dambai,
Potret wajahmu ku tatapi,
Sebuah kehilangan yang tiada ganti.

khas buat ibu tersayang..al-fatihah

~tinta lughahwi~


Ingatlah Kepada Ibumu

Orang kata aku lahir dari perut ibu..
Bila dahaga, yang susukan aku.. ibu
Bila lapar, yang suapkan aku..ibu
Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku.. ibu
Kata ibu, perkataan pertama yang aku sebut.. Bu!
Bila bangun tidur, aku cari.. ibu
Bila nangis, orang pertama yang datang ..ibu
Bila nak bermanja… aku dekati ibu
Bila nak bergesel… aku duduk sebelah ibu
Bila sedih, yang boleh memujukku hanya ibu
Bila nakal, yang memarahi aku… ibu
Bila merajuk… yang memujukku cuma..ibu
Bila melakukan kesalahan… yang paling cepat
marah..ibu
Bila takut… yang tenangkan aku.. ibu
Bila nak peluk… yang aku suka peluk..ibu

Aku selalu teringatkan ..Ibu
Bila sedih, aku mesti talipon… Ibu
Bila seronok… orang pertama aku nak beritahu… Ibu
Bila bengang.. aku suka luah pada ..Ibu
Bila takut, aku selalu panggil.. “ibuuuuuuuuuuuuu! “
Bila sakit, orang paling risau adalah ..Ibu
Bila nak exam, orang palin g sibuk juga Ibu
Bila buat hal, yang marah aku dulu..Ibu
Bila ada masalah, yang paling risau.. Ibu
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni.. Ibu
Yang selalu masak makanan kegemaranku. . Ibu
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku, Ibu
Yang selalu berleter kat aku.. Ibu
Yang selalu puji aku.. Ibu
Yang selalu nasihat aku.. Ibu
Bila nak kahwin..
Orang pertama aku tunjuk dan rujuk… Ibu

Aku ada pasangan hidup sendiri
Bila seronok… aku cari pasanganku
Bila sedih… aku cari Ibu
Bila berjaya… aku ceritakan pada pasanganku
Bila gagal… aku ceritakan pada Ibu
Bila bahagia, aku peluk erat pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat Ibuku
Bila nak bercuti… aku bawa pasanganku
Bila sibuk… aku hantar anak ke rumah Ibu
Bila sambut valentine… Aku hadiahi bunga pada
pasanganku
Bila sambut hari ibu… aku cuma dapat ucapkan Selamat
Hari Ibu
Selalu… aku ingat pasanganku
Selalu… Ibu ingat kat aku
Bila..bila… aku akan talipon pasanganku
Entah bila.. aku nak talipon Ibu
Selalu… aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila…. aku nak belikan hadiah untuk Ibuku

Renungkan:

Dulu Ibu kata: “Kalau kamu sudah habis belajar dan
berkerja… bolehkah kamu kirim wang untuk Ibu? Ibu
bukan nak banyak… lima puluh ringgit sebulan pun
cukuplah”.

Berderai air mata. Hari ini kalau Ibu mahu lima ratus
sebulan pun aku mampu. Aku boleh kirimkan. Tapi Ibu
sudah tiada.

ingatlah pengorbanan ibuuuuu….

~???~


Ibuku

Ibu
Setiap deras degupan jantungku
Engkau mampu merasanya
Ketika aku:
Sedih
Gembira
Gelisah
Naluri ibumu
Bagaikan sebati dalam diriku

Ketika aku sedih
Kaulah ubat kepada duka laraku
Menceriakan dan menghakis
Perasaan yang melunturkan
Semangatku

Ketika aku gembira
Engkau juga turut berkongsi
Kegembiraan yang menyinari saat
Aku hidup di muka bumi ini
Sebagai manusia

Pabila gelisah menyelubungi jiwaku
Engkau masih bersamaku
Menolong menyelesaikan
Masalah yang tak sudah-sudah mengusutkan
Perjalanan hidupku

Ibu
Selagi hayat dikandung badan
Aku akan sentiasa mendampingimu
Membelai dan menjagamu hingga ke hari tua

Ibu
Aku tahu kasih sayang yang kucurahkan kepadamu
Tak setanding kasih sayang ibu kepada anaknya
Namun, terimalah keikhklasanku
Untuk menyayangi
Insan yang mulia ini

~Muhammad Syafiq~


Sajak Untuk Ibu

Siapalah daku tanpa dirimu
Walaupun kau sering memarahiku
Daku tidak pernah kecewa
Kata-katamu bak mutiara
Kerana ku tahu disebalik kekatamu itu
Terselindung secebis kasih seorang Ibu terhadap anaknya...
ku pasti setiap nasihat itu adalah untuk
kebaikan diriku...
Mengajarku erti sebuah kehidupan

Ibu….
Daku telah banyak berdosa kepadamu
Dapatkah daku membalas jasa baktimu
Yang laksana pepasir di pantai
Yang telah menyabung nyawa demi melahirkan diriku
Yang tidak jemu-jemu mendengar tangisanku semasa kecil
Dan menatap wajahku yang hina ini...

Sempena Hari Ibu
Daku berdoa ke atas kesejahteraan dirimu
Agar dipanjangkan umur dan sentiasa bahagia
Disamping keluarga tercinta...

~Sulaiman~


Aku Masih Ingat

Aku masih ingat
dan akan terus ingat
sehingga akhir hayat
dulu engkau banyak menderita

aku masih ingat
dulu engkau banyak menangis
aku masih ingat
dulu engkau banyak berkorban
apa saja

aku masih ingat
dulu engkau berbalut ketabahan
membesarkan aku mengenal kemanusiaan
aku masih ingat
dulu engkau berlantaikan semangat
mengasuh aku menjadi insan beriman

aku masih ingat
dulu engkau berdinding kegigihan
mendidik aku menjadi anak soleh

aku masih ingat
dulu engkau merumahkan setia
memelihara aku dengan kasih sayang
menjadi manusia berguna

aku masih ingat….
aku masih ingat….
tak kan mudah aku lupa
karena jasamu tak terbalas semuanya
karena tak terenang sepenuhnya
di laut budimu

ibu……..!!!!
aku masih ingat
mengucapkan terima kasih
dan akan terus ingat melafazkannya
sehingga akhir hayat
aku masih ingat
segala yang murni itu…

~Sepriadi~

Hari Ibu

Di Malaysia dan sebahagian besar negara lain pada hari Ahad minggu kedua bulan Mei setiap tahun diadakan sambutan Hari Ibu. Pada hari ini anak-anak akan meraikan ibu mereka dengan berbagai cara. Tidak kiralah apa yang anda lakukan untuk ibu anda hari ini walaupun sekadar ucapan ringkas pasti menggembirakan ibu anda.

Walaupun begitu perlulah diingat bahawa menghargai ibu bukanlah cukup setakat satu hari sahaja. Sebagai umat Islam kita wajib mentaati dan menghormati ibubapa kita pada setiap masa. Ini boleh dilihat pada Firman Allah, bermaksud: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya" (Surah al Ankabut, ayat 8).

Ini diperkuatkan lagi dengan hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di mana dalam sebuah riwayat seorang lelaki datang kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya, "Siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?" Jawab baginda, "Ibumu, kemudian ibumu, kemudian ibumu, kemudian bapamu dan selepas itu orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya".

Walau di mana atau siapa pun kita ingatan kepada ibu perlulah sentiasa segar dalam ingatan, tidak kiralah samada mereka masih bersama kita atau sudah tiada. Fikirkanlah, kita berada dalam perut ibu selama 9 bulan dan ibu bertarung nyawa semasa melahirkan kita. Jadi layanlah mereka sebaik mungkin, temanilah mereka sekerap yang boleh dan hargai jasa mereka sepanjang masa. Sentiasalah kita mendoakan ibu kita lebih-lebih lagi jika ibu kita sudah meninggal dunia.

Jumaat, 1 Mei 2009

Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah 2009



Bersempena hari guru yang bakal disambut pada 16 Mei setiap tahun, Sekolah Kebangsaan Taman Sutera akan mengadakan sambutan hari guru peringkat sekolah. Majlis ini akan diadakan pada 18 Mei 2009 (Isnin). Pelbagai aktiviti yang akan dilaksanakan sempena menyambut hari tersebut, antara aktiviti yang bakal dijalankan adalah seperti sukaneka, karoke antara guru, jamuan makan dan tayangan video. Tema sambutan hari guru untuk tahun ini adalah Guru Pembina Negara Bangsa. Pihak sekolah mengucapkan selamat menyambut hari guru kepada semua guru di Malaysia. Untuk maklumat lanjut, anda boleh menghubungi Pn. Siti Azizah selaku ketua AJK majlis sambutan hari guru.